MENGAPA DOA AKU TIDAK DITERIMA..
Selasa, 16 Mac 2010

DOA…satu perkataan yang sudah sinonim dengan kehidupan umat Islam,satu perkataan yang begitu menggerunkan musuh-musuh Allah S.W.T..Satu perkara yang telah diajarkan kepada kita sejak kecil lagi,satu perkara yang menjadi amalan kita setiap hari.
Rasulullah S.A.W bersabda“Doa adalah senjata bagi orang Mukmin”,inilah hadith yang selalu kita dengar tetapi mungkin kita merasa pelik jika benarlah doa menjadi senjata bagi orang mukmin mengapa mutakhir ini kita melihat dunia Islam terus dihina,dikeji dan dizholimi?bukankah jutaan umat Islam diseluruh dunia sentiasa mendoakan kesejahteraan umat Islam yang lain setiap kali selepas solat ?amun segala permintaan tersebut dirasakan tidak bermakna kerana semuanya masih sama tanpa sebarang perubahan…
Ibrahim bin Adham ketika ditanya mengapa kami berdoa kepada Allah S.W.T tetapi tidak diperkenankannya?Lantas beliau menjawab…
1)Kamu kenal Allah S.W.T tetapi kamu tidak mentaati perintahnya
2)Kamu kenal Rasulullah S.A.W tetapi kamu tidak mengikut Sunnahnya
3)Kamu tahu Al-Quran tetapi kamu tidak mengamalkannya
4)Kamu makan nikmat Allah S.W.T tetapi kamu tidak bersyukur kepadanya
5)Kamu tahu syurga tetapi kamu tidak mahu mencapainya
6)Kamu tahu neraka tetapi kamu tidak takut kepadanya
7)Kamu tahu syaitan musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya
8)Kamu tahu mati tetapi kamu tidak membuat persiapan untuknya
9)Kamu sibuk melihatkan keburukan orang lain tetapi lupa melihat keburukan sendiri
10)Kamu mengebumikan mayat-mayat tetapi kamu tidak mengambil I’tibar darinya
Ada pula dikalangan kita yang berdoa kepada Allah S.W.T memohon sesuatu hajat tetapi dalam masa yang sama masih menagih simpati dan memohon hajat kepada manusia,kita tidak meletakkan pengharapan 100% kepada Allah S.W.T,seperti yang terdapat didalam sebuah syair:-
لا تسألن بني ادم حاجة * وسل الذي أبوابه لا تحجب
الله يغضب ان تركت سؤاله * وبني ادم حين يسأل يغضب
Janganlah kamu meminta sesuatu hajat kepada anak Adam,
Mintalah kepada mereka yang pintu rumahnya tidak tertutup,
Allah S.W.T marah jika kamu tidak meminta kepadanya,
Manakala anak Adam pula akan marah bila diminta-minta.
Imam Al-Ghazali berkata : Jika ada orang yang mengatakan apa guna kita berdoa sedangkan qada’ Allah S.W.T itu tidak dapat ditolak??Maka ketahuilah bahawa sesetengah dari qada’ Allah S.W.T itu ialah menolak bala dengan berdoa.Begitulah doa yang merupakan sebab untuk menolak bala dan mendapat rahmat,sebagaimana perisai itu menjadi sebab untuk menolak senjata musuh,dan air itu menjadi sebab menghidupkan tumbuh-tumbuhan di bumi.
Janganlah kita jemu dalam berdoa dan memohon kepada Allah SW.T kerana Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya(Ihya Ulumiddin)menyebut bahawa seseorang hamba itu akan mendapat satu daripada tiga perkara dalam doanya…
1)Sama ada dosanya diampunkan
2)Atau kebajikan segera diberikan kepadanya
3)Atau kebajikan disimpankan untuknya di akhirat kelak.
Oleh itu saudara/saudariku sekalian marilah kita terus memohon doa hanya kepada Allah S.W.T dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh onak dan duri,menjanjikan kita sejuta rintangan dan halangan yang hanya dapat diatasi dengan doa penuh yakin dan tawakkal kepada Allah S.W.T tuhan sekalian alam..
Renung-renungkan dan selamat beramal…

0 ulasan:
Catat Ulasan